Monday, May 12, 2014

Kakak

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua.

Apa khabar semua ? Moga kalian baik-baik sahaja hendaknya.

Sekian lama tak dikemaskini blog ni, akhirnya ada kisah untuk diceritakan.

Bersama Arwah Kakak dan arwah Abah. AL-Fatihah

Tanggal 23 April 2014 lalu bersamaan 23 Jamadilakhir merupakan tarikh dan hari yang paling sedih buat saya sekeluarga. Kakak saya iaitu Wan Azreena binti Wan Jaafar telah kembali ke rahmatullah. Pada hari itu, saya seperti biasa bergegas ke rumah arwah akak di Ampang selepas waktu kerja dan selalunya saya akan menghantar sms menanyakan makanan apa yang ingin dibeli.

SMS dihantar sebelum saya bertolak dari tempat kerja di Jalan Tun Perak lebih kurang jam 6pm dan sesampainya saya di sekitar rumah kakak, panggilan telefon saya beberapa kali tidak terjawab. Dalam fikiran saya mengatakan kakak mungkin sedang tidur, mandi ataupun solat. Lalu saya membelikan makanan untuknya seperti biasa,dan terus ke rumah akak.

Dari luar rumah, saya dapat lihat lampu dapur dan ruang tamu masih terpasang, dalam erti kata lain, keadaan masih sama ketika saya pulang dari rumah kakak malam sebelumnya. Hati saya mula gelisah kerana kakak selalunya akan menutup lampu-lampu itu. Ketika masuk ke rumah kakak, saya memberikan salam namun tak dijawab dan saya nampak kakak baring di atas katil.

Terus saya mengejutnya beberapa kali walaupun sudah ada tanda-tanda dia tidak lagi bernafas. Saya mengusap tangannya sambil berharap kakak akan bangun. Mungkin dia hanya pengsan, tapi bila saya merasa nadinya tidak berdenyut. Makin rungsing fikiran saya waktu itu, Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasakan waktu itu. Saya menjerit meminta kakak bangun, namun kita semua tahu ianya hanya sia-sia.

Dalam keadaan air mata laju berderai membasahi pipi, saya gagahkan hati membuat panggilan telefon pada abang bob saya, kemudian saya menelefon ambulans dan syukur Alhamdullah, bantuan kecemasan tiba tidak kurang dalam masa 15 minit dan untuk itu saya berterima kasih kepada pihak Hospital Ampang kerana bergegas datang.

Abang saya yang ketiga, Fezz merupakan yang pertama tiba di rumah kakak. Kemudian kawan baik abang Bob saya iaitu abang Nizam tiba dan tak dapat lagi saya menahan sebak, abang nizam yang meluru masuk ke dalam bilik terus menangis dan memeluk saya sambil mengatakan "Zat, Kak ina dah tak ada". Selepas itu kesemua rakan baik saya tiba di rumah itu, Badrill , Jai, Rujsdi dan saya hanya mampu menangis dan berdoa moga segalanya berjalan lancar.

Kakak saya merupakan insan yang paling rapat dengan saya diantara adik beradik yang lain. Arwah akak lahir pada 10 Januari 1970 dan meninggal dunia pada 23 April 2014. Sebelum itu, arwah akak tinggal bersama abah yang meninggal pada 19 Mac 2013 yang lalu. Hanya setahun selepas pemergian abah, saya sekeluarga diuji dengan pemergian kakak. Pilu hati ini hanya Allah swt yang tahu.

Sebelu, kakak, abah adalah tempat saya mengadu nasib. Rumah kakak di Ampang itu dah seperti tempat saya melarikan diri dari masalah. Abah pergi selama-lamanya pada 19 Mac tahun lalu, dan kakak yang baru keluar hospital sejak hujung tahun lalu tinggal seorang diri, saya hanya datang untuk membelikan makanan, mengemas rumah sedikit sebanyak.

Kebiasaannya, kakak akan batuk teruk setiap hari dan terpaksa bergantung kepada mesin oksigen. Tanpa bantuan pernafasan, kakak mudah semput. Oleh kerana itu, saya tak mampu nak berborak lama dengan kakak kerana keadaan kesihatan kakak tidak mengizinkan. Sepanjang kedatangan saya ke rumah kakak, saya sedapa upaya menunaikan hajatnya.

Kakak teringin untuk makan ice cream am red velvet, 2 minggu sebelum dia pergi, ada juga sesekali kakak mahu makan curry puff Secret Recipe, kesemuanya saya belikan. Tiada satu hari pun yang saya mengeluh kepenatan walaupun saya baru pulang bekerja dan saya juga tidak tinggal berhampiran berbanding abang saya. Tapi saya tak peduli semua itu, bagi saya, segala penat lelah saya tak dapat dibandingkan dengan semua jasa kakak pada saya dan keluarga.

Kakak saya merupakan seorang yang mengutamakan keluarga. Dia contoh terbaik dalam keluarga saya. Sentiasa menyayangi kesemua anak-anak saudaranya. Setiap harijadi, setiap ulangtahun, setiap majlis tahlil, kakak yang akan bertungkus lumus, membeli makanan dan keperluan, segalanya kakak akan uruskan. Walaupun kakak saya tu tiada kenderaan, dan hanya menaiki teksi ke sana-sini. Tapi dialah yang pasti datang dalam semua majlis keluarga. Malu sungguh pada kakak, hatinya begitu baik tapi tak semua orang yang menghargai.

Kakak memang suka pada budak-budak. Semua anak saudara dilayan dengan baik, akak sentiasa menolong abang dan adik-adiknya dalam urusan anak-anak. Kakak sangat pemurah, tidak pernah kedekut, setakat beri duit untuk beli susu, makan, pakaian untuk anak-anak saudaranya bukanlah satu masalah besar. Tapi tidak semua adik beradik saya yang tahu menghargai jasa kakak walaupun terang-terangan kakak SENTIASA membantu.

Sehingga waktu saya menulis (menaip, sebenarnya) entri ini, saya masih sedih dengan kehilangan kakak. Saya tak boleh tidur malam seperti biasa kerana teringatkan kakak. Mujur ada rakan-rakan yang memahami situasi saya. Mana mungkin boleh lupakan insan yang paling dekat di hati. Insan yang sentiasa membantu saya sejak sekolah, sehinggalah dah bekerja dan kakak memang orang yang paling baik yang saya pernah kenal sebab kakak tidak pernah menghrapkan balasan atas setiap pertolongan yang diberikan.

Kakak terlalu baik pada semua orang, dan walaupun orang lain tidak membalas jasa kakak dengan kebaikan, ataupun orang lain tidak mengendahkan kakak walau ketika kakak sakit. Tidak pernah sekalipun kakak merungut. Begitulah kakak, baginya keluarga adalah segalanya. Ketika kakak sakit tempoh hari, kakak mesti memberikan duit belanja pada mak. Walaupun mak tak mahu tinggal di rumah kakak untuk menjanganya, tapi kakak faham akan keadaan kesihatan mak yang tak menentu.

Kalau ada kebaikan walau sebesar zarah dalam diri saya, ketahuilah bahawa ianya kerana saya mencontohi kakak. Kakak mengajar untuk melakukan kebaikan walau orang tidak membalas kita dengan kebaikan. Memang sukar untuk berbuat baik pada orang yang tidak berbuat kebaikan pada kita, tapi berlainan dengan kakak. Dia menghormati orang yang lebih tua, dia menyayangi semua yang lebih muda.

Hari sabtu sebelum kakak pergi, saya datang ke rumahnya untuk membelilkan makanan tengahari tapi kakak menolak kerana pakcik teksi dah belikan makanan dan saya ke rumah abang di wangsa maju dan berjanji akan datang semula untuk membelikan makan malam untuk kakak. Malam itu, saya bawa sekali anak abang yang paling bongsu, Kameela namanya. Kakak sangat ceria dan gembira malam tu.

Ketika masuk ke rumah kakak, saya menyuruh Kameela membawakan makanan ke dalam bilik kakak. Dari luar saya terdengar jeritan kakak "Bestnye Kameela datang" dan tedengar tawanya yang jelas gembira melihat anak saudaranya itu. Dipeluk, dicium pipi Kameela. Siap diberi mainan untuk Kameela malam tu. Begitulah kakak, menghargai setiap detik bersama keluarga. Malam itu, kami berborak panjang tentang keluarga dan itu ini.

Berbincang nak beli kereta, dan kakak amat teruja waktu tu. Jarang kakak bersungguh untuk berborak macam malam tu, sebab selalunya dia batuk dan susah bernafas. Alhamdulillah, malam tu dapat kami berborak panjang.. Sesekali terselit kisah ketika arwah abah masih ada, banyak kenangan yang kami lalui bersama, susah dan senang, ketika sihat dan sakit. Kini tinggallah saya sendirian tanpa insan yang paling memahami saya.

Pengaruh kakak terlalu besar dalam hidup saya, dialah yang memberikan nama kepada saya. Wan Aizat, nama yang diberikan kerana berhampiran dengan namanya - Wan Azreena. Dari kecil hingga saya besar, dia sentiasa bersama saya. Tak mampu nak diteruskan lagi cerita tentang kakak ni kerana terlalu sedih. Tapi, buat semua ahli keluarga, rakan-rakan, murid-murid dan semua yang mengenali arwah kakak, saya mohon kalian maafkan segala kesalahan kakak, jika ada, dan halalkan segala makan dan minum sepanjang perkenalan.

Tiada apa lagi yang mampu dilakukan, selain berdoa kepada Allah swt, moga roh kakakku, dan roh ayahku dirahmati oleh-Nya, moga dilapangkan kubur-kubur mereka, moga berbahgia roh mereka di sana, moga dijauhkan dari segala azab kubur dan damailah kalian di sana. Suatu hari, kita pasti berjumpa lagi, sementara itu doa ini kuberikan buat kalian. Al-Fatihah


4 comments:

Wan Aizat said...

Al - Fatihah buat arwah akak..:(

mario said...

Takziah bro,
Al-fatihah buat arwah... semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama roh-roh orang orang yang beriman...

Wan Aizat said...

Terima kasih banyak ye bro. Moga bro sekeluarga dirahmati Allah swt senantiasa. Aminn

عبده العمراوى said...


شركة رش مبيدات بالخبر
شركة تسليك مجارى براس تنورة

Aizat's life © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates